Diari Cinta Kita Episod 1

Nantikan drama terbaru di slot Azalea berjudul Diari Cinta Kita yang bakal menggantikan drama Ainur Mardhiyah. Drama arahan Nazir Jamaluddin itu ditunjangi pelakon terkenal iaitu Fezrul Khan, Tasha Shilla dan Ayu Raudhah. Ikuti kisah Diari Cinta Kita pada setiap hari Selasa hingga Ahad jam 8.30 malam bermula 16 Disember 2016.

JUDUL : DIARI CINTA KITA
EPISOD : 20 episod
TARIKH TAYANGAN : 16 Disember 2016
HARI / MASA : Selasa-Ahad, 8.30 malam
SIARAN : Slot Azalea TV9 & TV3
PENULIS SKRIP : Wan Saiful Shahrizan
PENGARAH : Nazir Jamaluddin
TERBITAN : Sekutu Saujana Production Sdn Bhd
PELAKON : Fezrul Khan, Tasha Shilla, Ayu Raudhah, Reen Rahim, Shajiry, Bell Ngasri, Nor Albaniah, Dato Ahmad Tarmimi Siregar, Azlee Senario, Roslan Salleh, Zalfa Zin, Illey Mohtada

SINOPSIS DIARI CINTA KITA
Penulisan di dalam diari bukan lagi satu perbuatan yang diamalkan oleh orang zaman sekarang dek kemajuan teknologi yang sudah mengambil alih. Namun, tidak lapuk bagi seorang doktor pakar puan yang bernama Doktor Aqilah. Baginya, diari yang ditulis itu adalah perjalanan hidupnya bersama orang-orang di sekelilingnya.

Segala yang tersurat itu ditulis dari hatinya selepas bergelar isteri kepada seorang lelaki yang penyayang dan baik hati bernama Hakim. Walaupun Hakim seorang yang romantik, tetapi dia tidak boleh memenuhi segala permintaan dan meluangkan masa sepenuhnya dengan Aqilah kerana Aqilah berkongsi kasih dengan Nurul Iman.

Doktor Aqilah pada mulanya ingin menyembunyikan perkahwinannya dengan suaminya kerana tidak mahu melukakan hati isteri pertama Hakim, Nurul Iman. Tambahan lagi, Aqilah tidak sanggup memberitahu kebenaran kepada Nurul Iman yang juga merupakan kawan baiknya.

Nurul Iman dan Hakim sudah 7 tahun berkahwin namun mereka belum dikurniakan anak. Pelbagai usaha telah mereka lakukan untuk mendapatkan anak tetapi hasilnya tetap tiada. Walaupun tidak mempunyai cahaya mata, hidup mereka berdua seperti pengantin baharu dan tetap romantik setiap hari.

Setelah Nurul Iman disahkan mengidap kanser usus tahap satu, dia mula murung. Hakim telah mengambil cuti demi menjaga isterinya buat sementara waktu. Walaupun tertekan, Hakim berjanji bahawa dia tidak akan sekali-kali tinggalkan Nurul Iman walau apa pun yang bakal berlaku pada masa hadapan. Hidup matinya hanya untuk Nurul Iman.

Nurul Iman terharu dengan kasih sayang dan perhatian yang diberikan oleh Hakim. Dia telah mendapat semangat baharu dan bertekad menjalani rawatan untuk sembuh. Hakim lebih kerap menemani Nurul Iman. Di situlah permulaan perkenalan Hakim dengan Doktor Aqilah yang merawat Nurul Iman.

Kasih sayang yang ditunjukkan oleh Hakim dan Nurul Iman membuatkan Doktor Aqilah mula menyimpan perasaan terhadap Hakim. Walaupun dia sedar bahawa dia sudah bertunang dengan seorang lelaki lain, tetapi dalam hatinya ialah Hakim.

Kekerapan pertemuan mereka untuk rawatan Nurul Iman menyebabkan Hakim dan Doktor Aqilah semakin rapat. Mereka bertiga sering keluar bersiar-siar dan menghabiskan masa bersama. Hakim juga tertarik dengan ketulusan dan kebaikan Doktor Aqilah. Mereka berdua cuba mengawal perasaan kerana tidak sanggup melukakan hati Nurul Iman.

Akhirnya Hakim dan Aqilah berkahwin tanpa pengetahuan Nurul Iman. Mereka berdua meneruskan hidup seperti biasa tetapi Hakim tidak pernah bermalam di rumah Aqilah. Menjadi isteri kedua kadang kala membuatkan Aqilah sunyi. Oleh itu, Aqilah melepaskan semua isi hati di dalam diarinya.

Saat Nurul Iman mengetahui kebenaran tentang suaminya dan kawan baiknya, hatinya hancur luluh seolah-olah tidak boleh menerima kebenaran bahawa dirinya telah dimadukan. Sejak itu, Nurul Iman tidak lagi meneruskan rawatannya. Aqilah rasa bersalah kerana dia menganggap dirinya sebagai punca penyakit Nurul Iman menjadi mudarat. Dia juga menyesal kerana mengkhianati Nurul Iman. Aqilah telah meluahkan perasaannya dan menulis dalam diarinya.

Apakah yang akan terjadi kepada Nurul Iman? Adakah keputusan Hakim dapat memberikan kebahagiaan kepada dua perempuan yang amat dikasihi? Apakah yang tersimpan dalam diari Aqilah?

Comments are closed.