Kampung Semarah Padi 3 Episod 3
==
==
#7harimencintaiku
Penduduk Kampung Semarah Padi kembali terkena sumpahan sejak zaman berzaman dan kali ini menerusi musim ketiga, drama bersiri arahan Melissa Saila ini bergelut dengan sumpahan baru muncul dan setiap orang yang memijak kaki ke kampung tersebut tidak akan dapat berhenti dari terus menari.
Mengisi slot Bidadari drama bersiri “Kampung Semarah Padi” musim ketiga ini meneruskan sumpahan yang berubah di atas sikap kepentingan diri manusia yang sering mengikut emosi masing-masing.
Disiarkan mulai 28 Mac ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 3.05 petang di TV1, 13 episod cerita ini dibintangi oleh Rosca, Sani Sudin, Dboy Hamdan, Khir Rahman, Sabri Yunus, Sheila Mambo, Anissa, Johan As’ari, dan Harun Hashim.
Kesinambungan ceritanya apabila Penghulu Siak bergaduh dengan Seman dan apabila Wak datang mereka bertiga dipanah petir lalu pengsan. Sebaik tersedar, Penghulu Siak sedar isterinya telah tiada. Wak menutup warungnya dan kembali ke bandar. Anaknya, Ismadi Marzuki mahu ikut Wak tetapi tidak jadi kerana malu dirinya masih lembut. Penghulu Siak asyik mengigau arwah isterinya suruh dia berkahwin. Ismadi Marzuki bekerja dengan Orang Kaya Kamdin di warungnya namun kemudiannya Orang Kaya Kamdin mahu membuka kelab malam dan menyuruh Ismadi Marzuki mencari penari perempuan.
Penghulu Siak pulang menemui ayah mertuanya dan meminta izin mengahwini Kiambang, adik arwah Tanjung. Kelab malam milik Orang Kaya Kamdin mula beroperasi. Ismadi Marzuki diarahkan tambah penari lalu dia mengupah orang lain mencari penari dari kampung sebelah. Orang Kaya Kamdin terus membeli tanah daripada orang kampung. Dia menutup jalan yang melalui tanah yang dibelinya dan mengenakan tol kepada sesiapa yang melintas. Seman memberi amaran kepada Orang Kaya Kamdin supaya menghentikan aktiviti tidak senonohnya supaya penduduk kampung tidak ditimpa bala. Sebaik sahaja Penghulu Siak melihat wajah Kiambang, dia terus pengsan sehingga ayah Tanjung memikirkannya sudah meninggal dunia.
Ismadi Marzuki membawa Dewi untuk bekerja dengan Orang Kaya Kamdin. Seman terus menentang kegiatan hiburan Orang Kaya Kamdin di kampung mereka. Ismadi Marzuki pula mencadangkan supaya Orang Kaya Kamdin menjadi penghulu tetapi dibantah Seman. Seman yang dicadang menjadi penghulu pula rupa-rupanya buta huruf. Muncul Alam, cucu kepada Penghulu Siak. Alam cuba membantu Dewi yang tidak mahu bekerja dengan Orang Kaya Kamdin lagi.
Orang Kaya Kamdin mahu mengusir Alam sebaliknya Seman mahu Alam menggantikan datuknya sebagai penghulu namun ditolak Alam kerana yakin Penghulu Siak masih hidup. Alam mengajar di kelas dewasa untuk orang-orang kampung. Seman sanggup bertanding jawatan penghulu kerana tidak mahu jawatan itu jatuh ke tangan Orang Kaya Kamdin yang giat berkempen terutamanya kepada pengunjung kelabnya.
Penghulu Siak sedar dari pengsan dan setuju berkahwin dengan Kiambang. Alam telah menemui buku Undang-undang Tubuh Kampung Semarah Padi. Penghulu Siak dan Kiambang yang telah berkahwin pulang ke Kampung Semarah Padi. Seman menarik diri menjadi calon penghulu. Alam menjelaskan bahawa Orang Kaya Kamdin tidak layak menjadi penghulu kerana dia orang luar setelah dia membaca Undang-undang Tubuh yang ditemuinya. Orang Kaya Kamdin menukar rancangan supaya Ismadi Marzuki menjadi calon penghulu tetapi bersyarat.
Dalam perjalanan ke Kampung Semarah Padi, Kiambang merajuk dan ingin kembali ke kampungnya. Ismadi Marzuki telah menjadi penghulu dan mengambil alih rumah yang ditinggalkan oleh Penghulu Siak. Orang Kaya Kamdin menyuruh Penghulu Ismadi Marzuki mengutip cukai jalan dan menyerahkan kepadanya. Dewi berkerja dengan Orang Kaya Kamdin semula sebagai penyanyi kelab malam. Setelah sampai di rumahnya, Kiambang telah dinasihati oleh ayahnya supaya mendengar cakap suami.
Penghulu Ismadi Marzuki tidak mahu melayan aduan orang-orang kampung. Hubungan Dewi dan Alam sukar diterima kerana tidak setaraf dengan Alam yang dihormati oleh orang-orang kampung. Penghulu Siak bertolak balik namun ketika hampir sampai, Kiambang sekali lagi merajuk. Penghulu Ismadi Marzuki mula menggunakan kuasanya dan tidak mempedulikan arahan Orang Kaya Kamdin. Alam mahu meninggalkan Kampung Semarah Padi setelah kecewa dengan Dewi.
Wak kembali ke Kampung Semarah Padi untuk mencari Ismadi Marzuki. Wak ketawa besar apabila tahu anaknya dilantik jadi penghulu. Wak memaksa anaknya itu pulang menemui ibunya. Dewi bersedih kerana terpaksa berpisah dengan Alam disebabkan darjat yang berbeza. Penghulu Siak dan Kiambang bertolak balik sekali lagi dan kali ini ditemani oleh Pak Kundur. Orang Kaya Kamdin berhasrat menjadi penghulu setelah ketiadaan Ismadi Marzuki.
Setelah sampai ke Kampung Semarah Padi, Kiambang bertukar putih sementara Pak Kundur pula menjadi pemarah. Orang Kaya Kamdin kecewa dan menukar kelab malamnya kepada gelanggang silat. Dia mengadakan majlis sambutan kepulangan Penghulu Siak di gelanggang silatnya dengan pertunjukan silat diikuti dengan nyanyian dan tarian. Penghulu Siak dan Kiambang pun ikut menari.
Pak Kundur bertolak balik ke kampungnya. Orang Kaya Kamdin kecewa aktiviti hiburannya tidak dapat dijalankan sejak Penghulu Siak pulang. Penghulu Siak menyiasat aduan terhadap Orang Kaya Kamdin. Kiambang merajuk dan mahu melarikan diri tetapi sebaik sahaja dia menghampiri perahu, badannya bertukar hitam semula. Orang Kaya Kamdin datang menemui Penghulu Siak dan meracun fikirannya dengan mengatakan dia terlihat Kiambang berjalan di waktu malam.
Orang Kaya Kamdin mempunyai muslihat memfitnah Penghulu Siak dengan ibu Dewi, Mimin hingga menimbulkan cemburu Kiambang. Mimin membantah usaha Alam mahu meminang Dewi. Penghulu Siak memberi persetujuannya untuk menyerahkan segala masalah keselamatan kampung kepada Orang Kaya Kamdin. Cemburu Kiambang semakin menjadi-jadi, dia cuba melarikan diri tetapi perahu yang dinaikinya tidak bergerak dan kulitnya menjadi hitam kembali.
Ibu Mimin dan Dewi tidak dapat pulang ke kampung kerana perahu yang dinaiki mereka tidak bergerak. Berita Kiambang adalah hantu Mak Tanjung tersebar menyebabkan orang kampung ketakutan. Penghulu Siak dan Kiambang ke rumah Ibu Mimin kerana Kiambang mahu meminta maaf daripadanya. Orang Kaya Kamdin mahu menghalau Penghulu Siak dari kampung itu kononnya Penghulu Siak telah berkahwin dengan hantu.
Dewi gembira emaknya sudah merestui hubungannya dengan Alam. Penghulu Siak setuju keluar dari kampung itu setelah kecewa dengan orang kampung. Dia melarang Alam daripada menuntut bela. Niat Penghulu Siak untuk keluar dari kampung itu tidak tercapai kerana perahunya juga tidak bergerak apabila ditolak ke dalam air. Akibatnya dia terpaksa tinggal di sebuah rumah kecil yang terpencil. Dewi mengajak Alam pulang ke kampung asalnya tetapi Alam tidak mahu kerana ada tugas yang belum diselesaikan lagi di situ. Orang Kaya Kamdin melantik dirinya sendiri menjadi penghulu di Kampung Semarah Padi.
Orang Kaya Kamdin menghidupkan semula kelab malam miliknya dan bagi meraikan perlantikannya sebagai penghulu, dia mengadakan pesta tari-menari sampai ke pagi. Alam datang mengamuk dan semua yang sedang menari bertempiaran melarikan diri. Dewi yang berada di rumah begitu risau takut Alam terbunuh semasa mengamuk. Alam bermimpi didatangi neneknya, Musalmah melarang dia daripada mengundang bencana ke Kampung Semarah Padi. Seman mengadu kepada Siak yang Alam sedang mengamuk tetapi Siak tidak mahu campur tangan. Siak memberitahu Kiambang yang bala sudah sampai dengan kedatangan guruh, petir, angin dan ribut.
Penduduk-penduduk Kampung Semarah Padi tidak dapat mengawal diri mereka dari terus menari. Orang kampung meminta Seman supaya mencari Penghulu Siak bagi menghentikan sumpahan yang dialami oleh mereka. Adakah Penghulu Siak akan memaafkan mereka bagi mengakhiri sumpahan itu?